Lidah saya lidah Melayu

  • June 10, 2018
  • News

NING buka restoran sedia hidangan tradisional sejak sebulan lalu.

Selama 25 tahun bergelar penyanyi, terlalu banyak kenangan pahit dan manis dilalui penyanyi bersuara soprano, Ning Baizura.

Dengan apa yang dikecapi kini, mungkin ada beranggapan wanita berusia 43 tahun ini mencapai kejayaan dengan mudah tanpa perlu bersusah payah.

Namun, kesukaran yang dihadapinya hanya dia yang tahu. Banyak usaha keras yang dilakukan demi meneruskan kelangsungan dalam industri muzik tanah air.

“Saya bersyukur, selepas 25 tahun masih ada dalam industri seni tanah air. Mungkin orang nampak ia mudah untuk saya meneruskan kelangsungan sebagai penyanyi.

“Sebenarnya banyak perkara yang pernah saya lalui. Jatuh bangun sebagai penyanyi menjadikan saya seorang yang cekal dan tabah berhadapan dugaan.

“Paling menggembirakan saya adalah apabila mendapat semula perhatian dan kasih sayang daripada seorang ayah. Sebelum dia meninggal dunia, saya juga sempat menjaga dia,” katanya.

Penyanyi lagu Awan Yang Terpilu itu bakal tampil dengan lagu baharu dan dalam perancangan mengadakan siri jelajah di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak sempena ulang tahun ke-25 sebagai penyanyi.

Bagaimanapun, buat masa ini dia ingin memberikan perhatian terhadap restoran Tudung Periuk yang baru dibuka sebulan lalu.

Tambahan pula, restoran itu turut menyediakan juadah berbuka puasa.

Menurut Ning, keputusan menjalankan perniagaan adalah usaha untuk meneruskan legasi arwah bapanya yang juga pernah menjadi pengusaha restoran.

“Saya suka makan dan lidah saya lidah orang Melayu. Sebab itulah saya buka Tudung Periuk yang menyediakan hidangan tradisional seperti nasi kerabu dan laksa Sarawak.

“Saya terkejut apabila ramai pengunjung dari luar negara yang datang untuk mencuba hidangan di sini. Alhamdulillah, setakat ini operasi berjalan lancar dan mendapat sambutan,” katanya.

Katanya, dia terharu apabila ada peminat dari Johor dan Sabah yang berkunjung ke restoran sebagai tanda sokongan malahan mendoakan kejayaan berterusan buat penyanyi itu.

Restoran Tudung Periuk di Plaza Damas, Kuala Lumpur itu mungkin akan membuka beberapa cawangan di tempat lain.

“Saya berharap dapat membuka cawangan di Sabah dan Sarawak juga. Bagaimanapun, saya tidak mahu terburu-buru. Nanti satu apa pun tak jadi,” katanya. – Ardini Sophia Sina

original article