www.ning-baizura.com

Duo Star Bakal Saingi Kehebatan Gegar Vaganza?

by oya on Mar.09, 2017, under News

Sidang media sesi pengenalan kepada peserta Duo Star, juri-juri dan pihak penaja (Kredit Gambar: Astro Comms)

Ramai yang mungkin menganggap selepas tamat Gegar Vaganza musim yang ketiga, sudah tiada program hiburan yang bakal menyengat untuk tontonan mereka di hari Ahad.

Seperti biasa, Astro sudah merancang sesuatu yang hebat, dan mungkin kalau tidak lebih besar, akan setanding dengan Gegar Vaganza. Duo Star dilahirkan untuk memenuhi ruang kosong Ahad malam anda, bermula 25 Disember 2016.

Apakah Duo Star? Gabungan artis-artis solo ternama menjadi pasangan duet! Sesuatu yang sangat berbeza. Sesekali, kita akan lihat artis solo bekerjasama menghasilkan single duet dan sebagainya. Tapi kali ini, mereka bergabung untuk sebuah pertandingan.

Duo Star menyaksikan penyanyi-penyanyi ternama tanahair seperti Ning Baizura, Haiza, Yasin, Ronnie Hussein, Awi Rafael, Syamel dan ramai lagi bakal berduet menyanyikan lagu mengikut tema yang diberikan setiap minggu.

Seperti Gegar Vaganza, Duo Star diadili sepenuhnya oleh juri profesional tanpa ada undian penonton. Tiga juri tetap telah dipilih untuk memberikan kritikan dan permakahan. Datuk Hattan, Datuk Acis dan Adibah Noor bakal menduduki kerusi panas ini.

Duo Star juga bakal diacarakan oleh pengacara serba boleh, Datuk AC Mizal, manakala Aura White menjadi penaja utama untuk rancangan ini.

Berikut adalah senarai penuh penyanyi-penyanyi yang akan bertanding di dalam rancangan Duo Star musim pertama ini. Ning Baizura bakal berpasangan dengan Harris Baba, Ayai bersama Firman, Syamel bersama Ernie Zakri, dan Haiza bersama Aepul Drama Band.

Selain itu, Awi Rafael akan bergabung bersama Kaka Azraff, Ronnie Hussein bersama Sarah Fazny, Asfan berduet bersama Aweera dan Ila Damiaa bersama Yasin.

Format pertandingan Duo Star juga unik. Setiap minggu dua pasangan terbawah akan dipilih untuk bertanding dalam pusingan battle di minggu hadapan dalam segmen yang dipanggil ‘Lagu Takdir’. Daripada situ, hanya satu pasangan sahaja akan meneruskan cabaran di pusingan seterusnya.

Seperti biasa, juara bakal membawa pulang wang tunai RM100,000 dan naib juara dihadiahkan RM50,000. Sinar FM adalah radio rasmi untuk rancangan Duo Star ini.

Jangan lupa untuk menyaksikan rancangan Duo Star, bermula 25 Disember ini di saluran Astro Ria dan Ria HD, setiap Ahad pukul 9:00 malam.

original article

 

:

Comments are closed.