www.ning-baizura.com

16 Artis Rebut RM100,000 Dalam ‘Duo Star Read’

by oya on Mar.09, 2017, under News

Antara barisan artis yang akan terlibat dalam pertandingan 'Duo Star'. Foto SAMUEL ONG

KUALA LUMPUR: Pertembungan sengit seramai lapan pasangan dari kalangan penyanyi profesional bakal menggamatkan program terbaharu terbitan Astro iaitu Duo Star.

Ketua Saluran Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, program itu bakal memperlihatkan peserta berpadu suara dalam mencari keserasian sebagai pasangan duet bagi membuktikan bakat dan kebolehan menyanyi masing-masing.

Duo Star berbeza dengan pertandingan yang pernah diterbitkan sebelum ini kerana menerusi program ini bakal menyaksikan pertembungan sengit penyanyi profesional secara duet,” katanya kepada mStar Online.

Lapan pasangan bintang duo yang bakal berentap untuk musim pertama program tersebut adalah Syamel & Ernie Zakri, Asfan & Aweera, Awi Rafael & Kaka Azraff dan Ila Damiaa & Yasin.

Turut bertanding Haiza & Epul Drama Band, Ronnie Hussein & Sarah Fazny, Harris Baba & Ning Baizura dan Firman & Ayai.

Duo Star bakal bersiaran bermula 25 Disember depan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Raqim berkata, peserta diberi kelonggaran memilih pasangan duet masing-masing dengan perbincangan bersama pihak produksi Astro.

Ini kerana kata Raqim, cabaran menyanyikan lagu duet bukan mudah selain perlu mengambil kira keserasian pasangan agar lagu dipilih dapat dipersembahkan dengan baik.

“Pihak kami sedar cabaran menyanyikan lagu duet bukan mudah kerana keserasian pasangan adalah penting dalam mencari keserasian vokal.

“Atas dasar itu kami memberi kelonggaran kepada peserta memilih pasangan duet masing-masing,” ujarnya.

Sementara itu, Raqim berkata, kesemua peserta akan diadili sepenuhnya oleh juri profesional yang bertanggungjawab untuk menilai persembahan berdasarkan kriteria ditetapkan.

Tiga juri profesional adalah Pengarah Muzik, Datuk Acis, penyanyi Datuk Hattan dan Adibah Noor.

“Menariknya bintang duo yang mendapat markah terendah di akhir konsert akan diberi peluang kedua membuktikan mereka layak untuk terus kekal.

“Mereka akan diberi cabaran menyanyikan ‘Lagu Takdir’ yang dipilih oleh pihak produksi di pusingan battle sewaktu awal konsert di minggu berikutnya.

“Pasangan menyerlah akan dikekalkan untuk terus bersaing bersama peserta lain,” jelasnya.

Manakala Datuk AC Mizal menggalas tanggungjawab sebagai hos Duo Star.

Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 manakala naib juara RM50,000 berserta trofi.

Lebih menarik setiap minggu pasangan duo terbaik akan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM5,000 tajaan Aurawhite dan baucar Go Shop bernilai RM1,000.

original article

:,

Comments are closed.