www.ning-baizura.com

Ning Rakam Album Untuk Anak

by oya on Sep.20, 2012, under News

20 Sep 2012, 12:14am   |   Nani


Selepas empat tahun mendirikan rumahtangga dengan Omar Sharif Christopher Layton, penyanyi berkaliber, Ning Baizura dan suami akhirnya bakal menerima kehadiran orang baru dalam hidup mereka apabila Ning kini disahkan hamil hampir lima bulan. Berita gembira ini dikongsi sendiri oleh Ning bersama keluarganya dalam satu majlis sidang media khas yang diadakan di Restoran Bijan, Jalan Ceylon, petang Rabu.

“Ya, kami sekarang memang sedang menanti kehadiran orang baru dalam rumahtangga kami. Kami berasa sangat gembira dan teruja dengan perkara ini apatah lagi ini merupakan anak pertama dalam perkahwinan kami,” ujar Omar kepada para wartawan yang hadir.

Ning yang berada di sisi Omar turut berkata, “Syukur, Alhamdulillah kami sangat gembira kerana dikurniakan rezeki dari Allah SWT. Syukur kerana doa kami selama ini dimakbulkan dan kami sangat teruja kerana ini merupakan anak pertama buat saya dan yang ketiga buat Omar. Bagi saya, tiga bulan pertama merupakan masa yang paling menyeronokkan.”

Berkongsi mengenai pengalamannya lagi, Ning memberitahu, “Sepanjang saya hamil, saya tidak berasa mual, muntah atau pening dan saya pasti bayi dalam kandungan ini sangat memahami serta bijak kerana tidak mahu melihat ibunya sakit. Selain itu, saya juga tidak mengidam sebarang makanan. Disebabkan tidak mengalami sebarang alahan atau mengidam seperti wanita hamil yang lain, saya masih tidak percaya yang saya dah hamil.

“Tiga bulan pertama kehamilan, saya obses dengan makanan berasaskan sayuran seperti tempe, tofu dan juga minum air kacang soya. Saya juga mengamalkan makanan yang sihat seperti makan buah-buahan, oat, ikan serta makan dua biji kurma setiap hari.”

Ketika ditemui, Ning turut memberitahu beliau kini sudah membaca dua buah buku mengenai kehamilan sebagai persiapan untuk dirinya menjadi seorang ibu. Dijangka melahirkan anak pada pertengahan Januari depan, Ning mengakui masih belum membuat sebarang persiapan untuk kelengkapan bayi kerana masih belum mengetahui jantina anaknya.

Tambah penyanyi berusia 37 tahun ini lagi, walaupun kini sedang hamil lima bulan, namun beliau memberitahu masih tetap aktif dalam bidang muzik dan masih menerima persembahan pentas sehingga 20 Disember 2012 .

“Saya tak boleh jadi orang yang tak buat apa-apa. Saya masih lagi menerima persembahan pentas cuma saya lebih berhati-hati sekarang. Saya juga hadkan kepada satu persembahan saja setiap minggu. Saya juga kini dalam proses untuk merakam album kanak-kanak iaitu album khas untuk anak saya.

“InsyaAllah, akan ada dalam lima atau enam buah lagu dalam album keluaran Universal Music ini. Album ini dijangka akan berada di pasaran bila saya betul-betul dah nak bersalin nanti. InsyaAllah, bulan depan juga saya akan buka studio saya sendiri,” ujar Ning yang menganggap semua ini rezeki anaknya.

“Tahun depan genap 20 tahun saya sebagai anak seni dan insyaAllah saya merancang untuk mengadakan konsert saya nanti. Saya juga bakal melancarkan jenama wangian saya sendiri, InsyaAllah.”

original article

:

Comments are closed.